Posts Tagged ‘Tidak puas hati’

h1

Majoriti ahli Umno masih yakin dengan parti

May 8, 2008

KUALA LUMPUR: Majoriti ahli Umno masih yakin dengan semangat dan perjuangan parti terbesar orang Melayu itu bagi mengharungi masa depan, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, walaupun menghadapi cabaran besar hari ini selepas kehilangan lima negeri pada pilihan raya umum lalu, ahli Umno melihat parti berusia 62 tahun itu sebagai masih relevan.

“Ramai yang masih yakin…(bahawa) masih ada harapan tinggi tetapi (pada masa yang sama) ramai berpendapat perlu satu tindakan segera tanpa berlengah diambil untuk membetulkan apa juga kelemahan dan kesalahan atau kesilapan yang menyebabkan kita ditolak sebahagian pengundi,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sejauh mana keyakinan anggota parti pada masa sekarang.

 

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merasmikan Pameran Metaltech 2008 dan Seminar Kebangsaan Peluang dalam Industri Kejenteraan dan Peralatan di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, Umno sebagai parti teras Barisan Nasional (BN) dan juga parti komponen lain sudah memulakan langkah untuk melihat kelemahan sama ada dari segi kepemimpinan, pengurusan parti, dasar atau apa yang dilakukan selama ini yang menyebabkan rakyat tidak puas hati. – Bernama